Puteri Pokok Buluh
May 25, 2006 by haziamyperspective
Tersebut al-kisah di suatu tempat bernama Balik Pulau, nun jauh di Pulau Mutiara.
Di celah-celah hutan yang hijau, melepasi deretan demi deretan pokok-pokok buluh di lerengan bukit yang curam, sampai ke suatu pinggiran desa yang tenang, tersergam indah sebuah kota. Inilah pusat membina pemimpin masa depan, tempat Putera Puteri terpilih menuntut ilmu, tempat mendidik rakyatnya menjadi insan yang berguna. Hehehe…berseloka Nujum Pak Belalang sedikit hari ni…
Ya, MRSM Balik Pulau, tempat aku dan teman-teman menghabiskan usia remaja, tempat kami membesar, membina memori indah…Selama 5 tahun kami berkongsi hidup, kami sangat rapat seperti adik-beradik. Mana tidaknya, tinggal bersama dari usia 13 sehinggalah 17 tahun. Memang segalanya masih segar dalam kenangan.
Waktu pelajar putera sembahyang Jumaat adalah kegemaran pelajar puteri untuk bersantai di warung Makcik di sebelah luar pagar maktab. Laksa di situ, hoo, memang sedap, tiada tandingannya. Hujung minggu kami naik bas untuk keluar ke pekan, ke warung Mee Udang yang paling terkenal di situ. Kalau rajin lagi, kami pergi jauh sedikit ke Georgetown, singgah menikmati KFC di KOMTAR, makanan orang kaya-kaya;)
Ada sekali tu, aku dan rakan-rakan dalam 10, 11 orang, semuanya puteri, cuba mengambil jalan pintas dengan melalui hutan. Tiba-tiba, ternampak
sekumpulan pemuda. Mereka bersiulan, kami buat tidak layan. Ada seorang menjerit "Jangan nak berlagak, sini hutan, kat sini ada pondok…," mereka semua ketawa terbahak-bahak. Apa lagi, kami pun pucat dan bertempiaran lari.
Satu lagi pengalaman yang menggerikan ialah apabila pelajar putera mencuri masuk ke asrama puteri pada waktu lewat malam. Satu musim tu, hari-hari ada pelajar putera menceroboh. Bila dah masuk ke atas bumbung, terdengar siulan panjang bersahut-sahut, tiga kali, sepert bahasa isyarat yang mengumumkan…’kami datang’. Yang paling menakutkan ialah mereka seperti menggunakan ilmu ghaib, hingga Cikgu pun tidak dapat menangkap mereka.
Pelajar-pelajar puteri mula bersentri, bergilir-gilir berjaga waktu malam dan mengawal. Memang kami tidak cukup tidur masa tu. Yang pelik, tepat pada masa mereka hendak masuk, pengawal-pengawal yang tak bertauliah ni mesti dah tertidur…entahlah kebetulan atau apa. Kami tahu mereka datang kerana mesti tinggalkan sedikit cenderamata… ada-adalah benda yang tak sepatutnya, atau yang berubah tempat. Rasaku cuma ada sekali yang rakan-rakan kami berjaya memberkas pesalah-pesalah tersebut dengan menggunakan kayu hoki…hehe…
Antara pengalaman yang lucu adalah apabila asrama puteri menjadi seperti rumah orang-orang tua akibat dari aktiviti membina kekuatan fizikal selepas
SRP…hehe… Kami dikehendaki berjalan lasak sejauh 30 km, keluar dari pukul 7 pagi, bertenaga dengan sarapan nasi lemak panas DS, dan pulang sehingga hampir senja. Kami bersemangat, habiskan juga, walaupun Cikgu pelawa naik kereta setengah jalan. Esok tu, apalagi, longgarlah skru lutut…
Untuk melepaskan tensyen, kadang-kadang kami mengambil angin di belakang asrama, duduk di atas rumput yang menghijau…tenang sekali.
Zaman persekolahan memang tidak dapat dilupakan, pokok buluh menjadi saksi:)
